Putrajaya: “Kami sekeluarga bersyukur menerima berita mengatakan jenazah arwah sudah selamat dibawa turun hari ini,” kata Awang Asim Ampuan Yaacub, 57,abang kepada Allahyarham Leftenan Kolonel (PA), Awang Askandar, 56, pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang meninggal dunia ketika misi menawan puncak Everest, Jumaat lalu.

Awang Asim yang juga pesara kakitangan kerajaan dari Papar, Sabah berkata, berita itu diketahui melalui laporan media yang disiarkan hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga bersyukur akhirnya proses membawa turun jenazah dapat dilakukan selepas ditangguhkan pada Isnin disebabkan faktor cuaca.

Katanya, isteri Allahyarham, Siti Hafizah Abdul Hamid, 31, bersama enam anak berusia antara dua hingga 12 tahun juga sudah pulang dari Alor Setar. Kedah ke Sabah semalam bagi menyambut jenazah.

“Kami berharap urusan jenazah dapat diselesaikan dengan selamat hari ini dan dibawa pulang seberapa segera ke tanah air selepas selesai menjalani prosedur ditetapkan,” katanya ketika dihubungi. Media hari ini melaporkan jenazah Awang Askandar selamat dibawa turun dari kem empat dan tiba di kem tiga pada jam 7 pagi waktu Nepal.

Proses membawa turun jenazah dilakukan enam malim gunung menggunakan pengusung secara bergilir-gilir mengambil masa sembilan jam.

Sekiranya cuaca mengizinkan proses membawa turun jenazah akan diteruskan ke kem dua seterusnya diterbangkan dengan helikopter dari Everest Base Camp (EBC) ke hospital di Kathmandu dijangka pada 1 tengahari waktu Nepal untuk proses selanjutnya.

Allahyarham yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan sebelum ini pernah berkhidmat dengan pasukan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) sehingga menamatkan kerjaya.

Awang Asim berkata, mereka juga sudah membuat persiapan bagi pengebumian jenazah dan sebaik tiba di Sabah akan dibawa ke rumah kakaknya, Dayang Jebaidah untuk penghormatan terakhir.

Menurutnya, ahli keluarga juga sepakat untuk mengebumikan jenazah Awang Askandar bersebelahan pusara ibu, Allahyarhamah Dayang Fatimah Ampuan Jair di Kampung Banoni, Papar.

Katanya, mereka sekeluarga bersedih dengan pemergian arwah, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk kerajaan, Kementerian Luar, APM, kerajaan Sabah dan rakan arwah yang tidak putus hadir sejak Sabtu lalu bagi merakamkan ucapan takziah,” katanya.

Tamat

Advertisement