“Di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang,” itu titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar,
Menurut Baginda isu berkenaan berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.
Titah baginda, peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah Allah perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk akan terus terpelihara.
“Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang Undang Tubuh Negeri Johor 1895.
“Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam senikata Lagu Bangsa Johor,” titah baginda menerusi laman Facebook.
Sebelum ini, pelbagai pihak dilaporkan terus mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.